BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, February 4, 2010

Konsep 1 Malaysia

Pada pendapat saya,1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini,sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan,ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.Dalam erti kata lain 1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Pengertian ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju sepertimana yang diilhamkan melalui Wawasan 2020,syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti satu identiti nasional yang sama.

Sebaliknya 1 Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan mengaggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.1 Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum ,agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

Pengenalan 1 Malaysia

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

DEFINISI 1 MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

2.1 Huraian
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :

2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.

Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.

Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia

“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.

Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.



PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA

Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:

3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.


KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.


HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU

Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.


MATLAMAT 1 MALAYSIA

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.


‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.

7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.

7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.

7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

7.2. KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.

7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.

7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.

7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya

7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan

7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

7.3 RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.

7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.

7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.

7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.


7.4. PENERIMAAN

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.

7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.

7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.


7.5 KESETIAAN

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.

7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.

7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.

7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.

7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.

7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.

7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.

7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

7.6 MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.

7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..

7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.

7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.



7.7 PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.

7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.

7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.


7.8 INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.

7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.

7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.


KESIMPULAN


Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

Asas-Asas 1 Malaysia

  • Perpaduan adalah prasyarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara iaitu mencapai status Negara Maju menjelang tahun 2020.
  • 1 Malaysia adalah penerusan agenda membina negara.
  • Perpaduan sememangnya telah membentuk teras negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai.1 Mlaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.
  • Untuk mencapai kemajuan bagi negara,rakyat perlu diamajukan terlebih dahulu,dan ini dimulakandengan membentuk sikap penerimaan antara kaum ,yang membawa kepada perpaduan yang utuh.Apabila perpaduan dicapai,maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lancar.

Thursday, January 28, 2010

1 Malaysia

Merealisasikan Gagasan 1Malaysia bagi meningkatkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Menyokong program -1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian di utamakan. 1Malaysia. People First. Performance Now." “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

Semasa Rumah Terbuka PM

1Malaysia terserlah pada rumah terbuka PM dan kabinet l 21 Sept 2009

Daripada menu hinggalah pengunjung pelbagai kaum, semangat 1Malaysia terserlah di kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing pada majlis rumah terbuka anjuran Datuk Seri Najib Tun Razak buat pertama kalinya sebagai perdana menteri.

Ribuan orang berpusu-pusu ke Sri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya, untuk mengunjungi rumah terbuka itu yang bermula 11 pagi.

Najib, yang lengkap berpakaian baju Melayu merah jambu dan isteri beliau Datin Rosmah Mansor serta para menteri Kabinet beramah-mesra dengan para tetamu dan pengunjung.

Para duta dan diplomat asing serta tokoh korporat termasuk adik Najib, Datuk Seri Nazir yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, turut hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu.

Pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dijamu dengan pelbagai juadah termasuk makanan kegemaran ramai seperti satay selain ketupat, lemang, thosai dengan kari dhal dan kuetiau goreng.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan konsert artis tempatan.
Terdahulu, Perdana Menteri dan Rosmah menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

Selepas solat, Najib, Rosmah dan anak perempuan mereka turut menziarahi makam ayahanda beliau di Makam Pahlawan yang terletak dalam kawasan Masjid Negara.

Bercakap kepada pemberita, Perdana Menteri melahirkan kegembiraannya melihat ramai yang datang mengunjungi rumah terbuka itu walaupun diadakan di Putrajaya, dan hadirin terdiri daripada kelompok masyarakat yang berbeza agama, kaum dan latar belakang.

“Saya mengadakan rumah terbuka kali ini di Sri Perdana kerana ia adalah rumah rakyat, dan pada hari ini bagi yang berkunjung ke sini dapat berkenalan dengan ahli kabinet lain, selain dapat bersalaman dengan saya,” katanya.

Najib menyifatkan rumah terbuka sebagai tradisi ulung bagi mengeratkan perpaduan dan mewujudkan keharmonian di kalangan rakyat jelata.

“Konsep rumah terbuka adalah intipati konsep 1Malaysia, dan apabila mengadakan majlis rumah terbuka, minda kita terbuka dan menjadi lebih luas, dan secara ikhlas hati kita terbuka untuk menjemput sesiapa yang mengunjungi kediaman kita, tidak kira bangsa dan agama”, kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hadir di Sri Perdana berkata rumah terbuka adalah satu tradisi mulia yang harus dipraktikkan oleh masyarakat Malaysia kerana ia adalah satu amalan yang dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

Sumber : Utusan Malaysia

Gagasan 1 Malaysia

Kemajuan Gagasan 1Malaysia Terletak Pada Kepelbagaian Budaya, Kata Rais

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim Selasa berkata kemajuan Gagasan Malaysia untuk masa akan datang terletak pada kepelbagaian budaya dan seni rakyat negara ini.

Katanya melalui kebudayaan dan kesenian, Gagasan 1Malaysia lebih mudah dicapai dan diamalkan kerana menerusi penyebaran dua elemen penting ini, tidak wujud halangan penyatuan di kalangan rakyat pelbagai kaum.

"Menerusi kebudayaan dan kesenian yang kita jalin... dan kepelbagaian itu kita satukan dalam persembahan-persembahan, maka pengertian mengenai gagasan itu lebih mudah kita capai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Buku Kebudayaan Malaysia: Sebuah Pengenalan" di Auditorium Kompleks Kraftangan Malaysia di sini.

Dalam konteks ini, Rais berkata, mulai tahun depan menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara khasnya dan kementerian itu amnya, akan membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mempromosi pelbagai program bercorak kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum ke peringkat negeri-negeri bagi membolehkan rakyat pelbagai kaum menilai, menghormati dan menghargai semua amalan budaya di negara ini.

"Dengan lain perkataan kebudayaan Malaysia itu mesti jelas dilihat dalam kepelbagaiannya...bila dipersembahkan di daerah dan negeri-negeri kita nampak di situ kesatuannya. "Ini (persembahan) tidak tinggalkan mana-mana pihak termasuk di Sabah, Sarawak dan Orang Asli. 1Malaysia bukan gagasan politik, ia juga gagasan kebudayaan dan kesenian di tanah air," kata Rais.

Rais juga berkata usaha membantu NGO mempromosi kebudayaan dan kesenian rakyat pelbagai kaum akan dijalankan secara menyeluruh dan keberkesanannya akan dimasukkan dalam piawaian pekerjaan dan profesional kementerian.

"KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) di bawah kementerian ini juga akan dilihat dari segi tersebut dan kita akan amalkan nisbah praktikalnya buat masa akan datang khususnya pada 2010," katanya.

Rais berkata menerusi seni dan budaya, Gagasan 1Malaysia itu lebih praktikal diterima oleh generasi muda, pertengahan, yang lanjut umur serta yang di peringkat persekolahan dan tanpa penyatuan dalam budaya, negara tidak akan berjaya sepenuhnya mencapai matlamat nasionalnya.

"Jadi kementerian bersama semua jabatan akan bersungguh melibatkan semua kaum dalam percantuman persembahan, hiburan, seni dan budaya dalam setiap program merakyatkan seni," katanya.

Mengenai pembentukan negara bangsa, Rais berkata pembentukannya menerusi keutuhan pembudayaan akan memakan masa.

"Kementerian Pelajaran sudah setuju wujudkan sekurang-kurangnya dua sekolah seni di Johor dan Selangor dan kami akan susul penubuhannya supaya kandungan dapat diselaras dengan pembinaan negara bangsa melalui kaca mata pembudayaan," katanya.

Mengenai buku itu, Rais berkata ia adalah satu usaha murni yang perlu dihargai oleh semua pihak lebih-lebih lagi kerana ramai rakyat Malaysia masih bergelut untuk memahami apa itu budaya dan kebudayaan.

Rais berkata buku setebal 117 muka surat itu akan ditempatkan di semua 1,089 perpustakaan di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai membacanya bagi mengetahui soal mengenai budaya dan pembudayaan.

Buku itu diselanggarakan oleh Norliza Rofli dan Eddin Khoo serta mengandungi esei terkumpul termasuk dari Rais di bawah tajuk "Pembudayaan dan Binaan Negarabangsa". Penulis lain ialah Tan Sri Profesor Khoo Kay Kim, Stephen Chia Ming Soon, Mohd Anis Md Nor, Azirah Hashim, Tan Sooi Beng dan Eddin Khoo.

Menjawab soalan, Rais berkata walaupun banyak buku dan majalah diterbitkan di negara ini tetapi sistem di negara ini belum matang dalam membudayakan pembacaan dan mencari ilmu yang meluas.

Umpamanya, kata beliau majalah Budaya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka hanya terjual 6,000 naskHah setiap edisi keluaran, manakala majalah berbentuk hiburan seperti URTV terjual sekurang-kurangnya 150,000 satu keluaran.

SUMBER : BERNAMA