BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, January 28, 2010

Gagasan 1 Malaysia

Kemajuan Gagasan 1Malaysia Terletak Pada Kepelbagaian Budaya, Kata Rais

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim Selasa berkata kemajuan Gagasan Malaysia untuk masa akan datang terletak pada kepelbagaian budaya dan seni rakyat negara ini.

Katanya melalui kebudayaan dan kesenian, Gagasan 1Malaysia lebih mudah dicapai dan diamalkan kerana menerusi penyebaran dua elemen penting ini, tidak wujud halangan penyatuan di kalangan rakyat pelbagai kaum.

"Menerusi kebudayaan dan kesenian yang kita jalin... dan kepelbagaian itu kita satukan dalam persembahan-persembahan, maka pengertian mengenai gagasan itu lebih mudah kita capai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Buku Kebudayaan Malaysia: Sebuah Pengenalan" di Auditorium Kompleks Kraftangan Malaysia di sini.

Dalam konteks ini, Rais berkata, mulai tahun depan menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara khasnya dan kementerian itu amnya, akan membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mempromosi pelbagai program bercorak kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum ke peringkat negeri-negeri bagi membolehkan rakyat pelbagai kaum menilai, menghormati dan menghargai semua amalan budaya di negara ini.

"Dengan lain perkataan kebudayaan Malaysia itu mesti jelas dilihat dalam kepelbagaiannya...bila dipersembahkan di daerah dan negeri-negeri kita nampak di situ kesatuannya. "Ini (persembahan) tidak tinggalkan mana-mana pihak termasuk di Sabah, Sarawak dan Orang Asli. 1Malaysia bukan gagasan politik, ia juga gagasan kebudayaan dan kesenian di tanah air," kata Rais.

Rais juga berkata usaha membantu NGO mempromosi kebudayaan dan kesenian rakyat pelbagai kaum akan dijalankan secara menyeluruh dan keberkesanannya akan dimasukkan dalam piawaian pekerjaan dan profesional kementerian.

"KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) di bawah kementerian ini juga akan dilihat dari segi tersebut dan kita akan amalkan nisbah praktikalnya buat masa akan datang khususnya pada 2010," katanya.

Rais berkata menerusi seni dan budaya, Gagasan 1Malaysia itu lebih praktikal diterima oleh generasi muda, pertengahan, yang lanjut umur serta yang di peringkat persekolahan dan tanpa penyatuan dalam budaya, negara tidak akan berjaya sepenuhnya mencapai matlamat nasionalnya.

"Jadi kementerian bersama semua jabatan akan bersungguh melibatkan semua kaum dalam percantuman persembahan, hiburan, seni dan budaya dalam setiap program merakyatkan seni," katanya.

Mengenai pembentukan negara bangsa, Rais berkata pembentukannya menerusi keutuhan pembudayaan akan memakan masa.

"Kementerian Pelajaran sudah setuju wujudkan sekurang-kurangnya dua sekolah seni di Johor dan Selangor dan kami akan susul penubuhannya supaya kandungan dapat diselaras dengan pembinaan negara bangsa melalui kaca mata pembudayaan," katanya.

Mengenai buku itu, Rais berkata ia adalah satu usaha murni yang perlu dihargai oleh semua pihak lebih-lebih lagi kerana ramai rakyat Malaysia masih bergelut untuk memahami apa itu budaya dan kebudayaan.

Rais berkata buku setebal 117 muka surat itu akan ditempatkan di semua 1,089 perpustakaan di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai membacanya bagi mengetahui soal mengenai budaya dan pembudayaan.

Buku itu diselanggarakan oleh Norliza Rofli dan Eddin Khoo serta mengandungi esei terkumpul termasuk dari Rais di bawah tajuk "Pembudayaan dan Binaan Negarabangsa". Penulis lain ialah Tan Sri Profesor Khoo Kay Kim, Stephen Chia Ming Soon, Mohd Anis Md Nor, Azirah Hashim, Tan Sooi Beng dan Eddin Khoo.

Menjawab soalan, Rais berkata walaupun banyak buku dan majalah diterbitkan di negara ini tetapi sistem di negara ini belum matang dalam membudayakan pembacaan dan mencari ilmu yang meluas.

Umpamanya, kata beliau majalah Budaya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka hanya terjual 6,000 naskHah setiap edisi keluaran, manakala majalah berbentuk hiburan seperti URTV terjual sekurang-kurangnya 150,000 satu keluaran.

SUMBER : BERNAMA

0 comments: